KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat menunjukkan sikap yang lebih waras dalam mengendalikan insiden serangan balas Iran terhadap pengeboman Israel terhadap kedutaannya di Damsyik.

Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Islam Melaka dan Profesor Adjung Universiti Malaya, Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff berkata, Iran telah menunjukkan bahawa tindakannya adalah lebih terarah kepada sasaran ketenteraan, dan bukannya menyasarkan orang awam.

“Kembali kepada isu Iran-Israel ini, walaupun sebelum ini kuasa-kuasa besar bersama dengan Israel, tetapi apabila Iran melakukan serangan berfokus dengan menggunakan lebih 300 senjata yang dilancarkan, Amerika Syarikat telah menunjukkan satu tindakan yang lebih waras.

"Ini kerana, daripada awal Presiden Joe Biden telah menyatakan tidak bersedia untuk bantu Israel meneruskan perang terhadap Iran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

AS lebih waras bertindak balas terhadap tindakan Iran serang Israel - Penganalisis

Tambah Kamaruzaman, dalam serangan balas yang dilancarkan oleh Iran pada Sabtu lalu juga telah berjaya memperagakan keupayaan ketenteraan yang menggerunkan negara-negara barat dan Israel.

“Iran telah berjaya menunjukkan keupayaannya. Kalau kita lihat kepada kekuatan persenjataan Iran termasuk peluru berpandu Kheibar Shekan, Sejjil dan Soumar, ia boleh menjangkau jarak 2,000 hingga 3,000 kilometer.

“Sedangkan jarak antara Iran dan Israel tidak lebih daripada 2,000 kilometer sahaja. Ini telah mencetus ketakutan kuasa-kuasa besar,” ujarnya.

Menurut Kamaruzaman, selain kebimbangan negara-negara pro-Israel terhadap keupayaan ketenteraan Iran, blok negara tersebut juga bimbang konflik yang berpanjangan akan menyebabkan harga minyak melambung tidak terkawal.

“Apabila mereka melihat kekuatan ketenteraan Iran, selain kemungkinan akan berlakunya masalah lebih besar iaitu kenaikan harga minyak. Harga minyak dunia telah naik kepada AS$90 setong.

“Jika keadaan tidak dapat dikawal, harga minyak boleh naik sehingga AS$100. Ini akan menyusahkan semua pihak kecuali Iran, Arab Saudi dan negara-negara Teluk, yang tidak akan hadapi masalah yang sama,” katanya lagi.